Thursday, July 21, 2011

RCI Teoh Beng Hock: Karpal Cabar ke mahkamah

Peguam Karpal Singh yang mewakili keluarga Teoh Beng Hock berkata beliau mempertimbangkan untuk mencabar keputusan suruhanjaya diraja di mahkamah.

"Memandangkan keluarga ini tidak menerima keputusan suruhanjaya diraja bahawa anak lelaki mereka membunuh diri, satu daripada pilihan yang mereka ada ialah untuk membawa perkara ini ke mahkamah," katanya ketika dihubungi, lapor Bernama.

Beliau mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan keputusan berkenaan.

Petang tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz berkata Suruhanjaya Diraja Siasatan kematian Teoh memutuskan setiausaha politik DAP itu bertindak membunuh diri itu akibat soalsiasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bercakap dalam satu sidang akhbar di bangunan Parlimen, Nazri berkata tiga pegawai SPRM didapati telah menggunakan taktik soal siasat yang "agresif, tidak wajar, maka langgar peraturan".

Laporan suruhanjaya itu menyebut tindakan ketiga-tiga pegawai berkenaan iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus, berkemungkinan besar berbentuk soal siasat secara intensif sekali lagi ke atas Teoh untuk memaksanya membuat pernyataan bahawa Yong yang mengarahkannya untuk melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dalam mengendalikan peruntukan tersebut.

Laporan itu menyebut sesi itu pastinya membebankan Teoh dari segi fizikal dan mental memandangkan dia telah dinafikan tidur sepanjang malam dan pagi dan perlu menanggung soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar.

Suruhanjaya itu dalam laporannya berpendapat soal siasat keempat telah menjadi faktor pencetus yang membawa kepada kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, Nazri berkata, pegawai SPRM itu tidak mempunyai niat untuk membunuh Teoh.

Nazri juga berkata keluarga Teoh boleh mengambil sebarang tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang negara sekiranya mereka masih tidak berpuas hati dengan laporan suruhanjaya itu.

"Ini adalah negara bebas, kalau ada apa-apa cadangan lagi yang dimahukan, kita akan pertimbangkan.

"Lagipun suruhanjaya diraja itu dilaksanakan mengikut permintaan orang ramai," katanya.

No comments:

Blog Archive