Sunday, July 17, 2011

Pak Samad meneruskan agendanya

Seminggu selepas perhimpunan Bersih 2.0, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said meneruskan mesej ‘politiknya’ dengan berkata hanya golongan muda yang mampu membawa perubahan kepada corak kepimpinan negara.

Justeru Sasterawan Negara berusia 76 tahun ini menekankan corak kepimpinan itu boleh diubah melalui pilihan raya yang demoktratik.

“Demonstrasi ini hanya boleh diubah oleh golongan muda. Dunia ini untuk anak muda. Suara yang akan mengubahnya ialah anak-anak muda ini. Mereka ialah suara dan kuasawan kepada negara.

“Cuma, kuasa untuk berubah masih lagi dikuasai sekelompok bangsawan. Mengapa tidak kita kawal ia dengan pilihan raya supaya kuasawan pula yang naik,” kata beliau pada ceramah sempena pelancaran ‘Yellow Saturday’ anjuran PAS Wilayah Persekutuan di sini malam tadi.

Beliau turut berharap agar golongan tua dapat mengubah fikiran dan memberi peluang kepada golongan pelapis untuk mencuba tampuk pimpinan.

“Saya berharap pilihan raya akan datang, orang-orang yang tua ini boleh berubah fikiran mereka. Berilah waktu kelompok yang lebih bawah yang datang dari bawah menjadi ketua supaya tidak sia-sia pilihan raya akan datang.

“Berilah suara kita. Berilah undi kita supaya kita tidak tinggal di dunia yang penuh dendam,” katanya.

Sejak sebulan lalu, Samad di sebalik perkembangan sosiopolitik semasa dilihat sebagai “ikon baru”.

Samad telah membacakan sebuah puisi “Unggun Bersih” pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 pada 19 Jun lalu, sekali gus membawa kepada tindakan pihak berkuasa menyoal siasat beliau atas dakwaan menghasut.

Di sebalik perhimpunan Bersih 2.0, Samad merupakan antara beberapa personaliti bersama 600 penyokong gabungan menuntut pembaharuan pilihan raya tiba di Stadium Merdeka di sebalik halangan dan sekatan ketat pihak polis.

Beliau menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 sebagai “satu kejayaan besar” kerana dapat menarik kehadiran begitu ramai, didakwa dalam lingkungan 50,000 orang.

No comments:

Blog Archive