Tuesday, July 26, 2011

Dr Asri terkilan apabila dikaitkan dengan fahaman wahabi

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap ulama-ulama muda, yang menyertai Umno tahun lalu, mengkaji balik kedudukan mereka dalam parti itu ekoran tindakan pihak tertentu terus mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.

Isu ini menjadi perhatian ekoran laporan media semalam bahawa Majlis Keselamatan Negara (MK) telah meminta para mufti dan agensi agama negeri mengambil tindakan memantau amalan tersebut.

Asri dan 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengesahan rasmi mengenai laporan media semalam.

Sehubungan itu, Asri (gambar) berkata, beliau terkejut apabila ada pihak yang menganggap sekitar 40 ulama muda, kebanyakannya merupakan rakan beliau dan menyertai parti teras Barisan Nasional (BN) itu setahun lalu, didakwa menggunakan politik sebagai platform untuk mengembangkan fahaman Wahabi dan dikaitkan boleh menjurus kepada aktiviti pengganas.

“Saya tahu mereka ini (ulama muda) bertungkus-lumus membantu Umno dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ulama muda dalam parti politik dan menjalankan kerja-kerja mendakwah, tetapi mereka dilabelkan macam ini.Oleh yang demikian, eloklah mereka mengkaji semula kedudukan mereka dalam Umno.

Dalam tulisan di laman Facebooknya semalam, Asri berkata “pada hari ini satu taklimat keselamatan diberikan kepada para mufti dan pegawai agama di seluruh negara... tamat pada pukul 1 tengah hari... beberapa tokoh dimasukkan sebagai mengancam keselamatan negara... saya pun dimasukkan juga... saya tidak kisah, memang ada pun pendapat saya yang tidak sama dengan kerajaan pusat termasuk dalam isu Bersih.”

“Namun yang peliknya 40 ulama muda Umno juga dimasukkan dalam senarai pengganas khusus Ustaz Fathul Bari (Mat Jahya)... demikian setelah mereka berhempas membela kerajaan Umno, inilah balasannya.”

Malah kata Asri, “(kerajaan) Arab Saudi dan ulamanya dianggap negara pengganas.. parti politik tertentu yang menerima bantuan daripada Arab Saudi juga dianggap ada unsur pengganas... sudah pasti lulusan Madinah semuanya pengganas... inilah apabila madu dibalas racun, penawar dibalas tuba... elok ulama muda Umno mengambil langkah yang drastik...”

Ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu dilihat sebagai rakan Asri. Asri juga pernah dikatakan akan menyertai Umno bersama mereka ketika itu, tetapi bekas mufti itu memutuskan untuk kekal di luar arena politik dan meneruskan pendirian beliau tanpa memihak mana-mana pihak.

Cakap-cakap mengenai isu Wahabi dan penyertaan ulama muda dalam Umno pernah kedengaran sebaik sahaja mereka menyertai parti itu tahun lalu tetapi dinafikan oleh mereka dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider.

Difahamkan mesyuarat pagi semalam merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan terorisme.

Mesyuarat itu adalah susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan amaln Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi.

Difahamkan mesyuarat semalam telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Selain Asri antara nama yang disebutkan ialah Fathul dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya.

Dalam komen awal semalam, Asri berkata beliau terkejut dengan kemunculan semula isu amalan Wahabi sedangkan menurut beliau ia sepatutnya sudah “reda.”

Sementara itu, Fathul Bari memberitahu semalam bahawa beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung perkembangan terbaru ini.

Beliau sebaliknya menegaskan agar pihaknya diberi peluang untuk membuat penjelasan dengan MKN.

Isu mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) muncul awal tahun lalu.

Ketika itu nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Juanda juga muncul. Nama tokoh-tokoh itu dilaporkan dibangkitkan pada satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman ketika itu.Namun pada kali ini nama Hadi dan Shahidan tidak muncul lagi.

Isu itu sekali lagi muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Mengulas lanjut, Asri meminta agar pihak berkuasa boleh memanggilnya untuk mendapatkan penjelasan pada bila-bila masa, bukannya membuat tanggapan sedemikian.

“Dua hari lalu, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ada datang berjumpa saya di rumah saya (di Pulau Pinang). Ketika masa perhimpunan Bersih 2.0, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar juga ada menghubungi saya untuk berkongsi pandangan.

“Jadi, mereka (pihak berkuasa) boleh menghubungi saya bila-bila masa jika memerlukan maklumat dan penjelasan... bukan menyenaraikan dan melabelkan seperti ini,” kata tenaga akademik Universiti Sains Malaysia ini, yang akhir 2009 dikenakan dakwaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor mengadakan kuliah agama tanpa tauliah di Hulu Klang.

Bertolak daripada pendiriannya berkaitan dengan isu-isu politik mutakhir, Asri juga berkata, pihak-pihak tertentu menentang fahaman Wahabi kononnya membawa fahaman sempit dan bertentangan dengan prinsip sebenar Islam.

“Saya menyokong usaha menentang jika fahaman Wahabi membawa fahaman sempit. Tetapi pihak yang membawa amalan Wahabi cuba membawa unsur progresif dan unsur-unsur yang sesuai dengan persekitaran moden, tetapi tidak meninggalkan prinsip Islam... misalnya isu kedudukan wanita dalam masyarakat.

“Seperti yang dikatakan oleh Barat, kita patut menentang dan mengelak perkara-perkara yang membawa kepada fahaman sempit,” kata Asri sambil menambah, “dalam perkembangan sekarang, mereka yang menentang kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berhimpun juga seharusnya dianggap sebagai mereka yang mengamalkan fahaman Wahabi.”

“Sebab mereka tidak dapat membezakan antara fahaman progresif dan konservatif,” katanya lagi.

Asri merupakan antara tokoh agama progresif memberikan pandangan dan pendirian terbukanya mengenai perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung di ibu negara 9 Julai lalu. Ia dikatakan kurang disenangi oleh sesetengah pihak dalam kerajaan dan Umno.

No comments:

Blog Archive