Friday, July 15, 2011

Asri melatah lagi

Susulan perhimpunan 9 Julai, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Barisan Nasional (BN) perlu membuang pemikiran feudal jika mahu terus mendapat sokongan rakyat terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Jelas bekas mufti Perlis, dalam kepimpinan BN terlaku ramai “golongan pengampu” berbanding golongan yang boleh membantu parti perikatan untuk terus dilihat relevan dalam arena politik sekarang.

“Dalam pemerintah sekarang semua orang nak tunjuk kononnya dia setia (kepada pemerintah) walaupun kenyataan yang dikeluarkan adalah bodoh, tapi dia rasa tidak mengapa yang penting perdana menteri tahu.

“Dalam Umno bila ada pemimpin bagi kritikan, dia ini dianggap musuh walaupun idea yang diberikan adalah baik, namun ia dianggap bahaya kerana unsur feudal tidak ditinggalkan,” katanya dalam satu program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di ibu negara malam tadi.

Program dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan dihadiri intelektual, lebih banyak menyentuh perhimpunan 9 Julai lalu anjuran Bersih 2.0 dan diprotes Pemuda Umno.

Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang mengetuai perhimpinan Patriot membantah Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Tegas Asri (gambar), BN yang diketuai Datuk Seri Najib Razak harus memilih pemimpin yang boleh membantu pentadbiran kerajaan seterusnya boleh menarik sokongan rakyat.

“Kalau kerajaan pandai tangani ini, ia akan beri kelebihan tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya... pemikiran feudal ini perlu dibuang.

“Kalau perlu cari pemimpin yang boleh bantu kerajaan bukan kaki pengampu, ramai rakyat sekarang tidak tahu mahu mengundi siapa sebab mereka masih melihat keadaan dan kumpulan ‘third force’ ini jumlahnya lebih besar.

“Ramai yang nak masuk politik supaya dapat bodek pemimpin dan dapat hasil, namun kesannya nanti ia akan meroboh institusi yang ada, sebagai contoh khutbah Jumaat... institusi agama digunakan apa dalil agama yang mengharamkan perhimpunan, dalil agama digunakan untuk memburukkan orang lain.,” katanya.

Dalam pandangan yang dikemukakan di hadapan kira-kira 30 orang, Asri juga menyamakan BN seperti “seorang bapa yang menakutkan anak agar tidak ke tempat gelap kerana ada hantu.”

Kata beliau, strategi sedemikian sudah tidak berguna kerana rakyat sudah matang dan informasi boleh diperoleh melalui pelbagai cara.

“Saya menggambarkan kerajaan sebagai seorang bapa kepada seorang anak yang menakutkan anaknya agar jangan pergi ke tempat gelap kerana ada hantu, pada waktu kecil anak akan terima tapi bila anak sudah besar dan belajar di universiti ia sudah tidak berguna.

“Kerajaan dan pemimpin sudah terlupa bahawa sekarang bukan lagi zaman 70-an kerana kerajaan sudah tidak lagi boleh menghalang maklumat... dulu memang orang baca Utusan Malaysia tapi sekarang orang sudah tidak baca dan tidak percaya,” katanya.

No comments:

Blog Archive